Najib Tempelak Sikap Pembangkang Tanam Kebencian Terhadap Kerajaan


KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak sikap pembangkang yang disifatkannya gemar menipu dan mengelirukan rakyat serta menanam benih kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Perdana Menteri berkata pelbagai dakwaan pembangkang selama ini adalah tidak berasas, selain tidak menjaga kepentingan masyarakat India di negara ini.

Katanya beliau sendiri telah melakukan pelbagai usaha bagi membantu masyarakat India ketika belum menjadi perdana menteri, sehinggalah mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

"Apa yang telah (pembangkang) lakukan untuk masyarakat India selama ini berbanding apa yang kerajaan buat, lebih-lebih lagi ketika saya ambil alih kepimpinan negara. Sewaktu Pak Lah menjadi perdana menteri, dengan izin beliau saya menggerakkan inisiatif menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal orang India.

"Langkah itu dibuat untuk terus memajukan kedudukan kaum India yang akan terabai atau terpinggir jika tidak ada campur tangan serta kemahuan politik daripada kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib berkata negara tidak boleh maju dengan ideologi pemimpin yang berbeza.

"Bak kata pepatah Melayu, tidur sebantal tapi mimpi lain-lain.Saya percaya mimpi Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) lain, mimpi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) lain, dan mimpi (Lim) Kit Siang lain.Negara ini tidak boleh dipimpin oleh pakatan pembangkang yang tidak stabil. Kita tidak boleh membahayakan negara ini," kata Perdana Menteri.

Menyentuh pelbagai program pembangunan yang dibawa kerajaan untuk masyarakat India di bawah pentadbirannya, Najib berkata sejak 2010, kerajaan meluluskan RM800 juta untuk pembangunan sekolah Tamil di seluruh negara.

Katanya, kerajaaan juga telah meluluskan RM1.3 bilion sebagai pinjaman kepada pengusaha kecil dan sederhana India, di mana 32,000 mendapat manfaat melalui pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) SME Bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Dalam pada itu, Najib melahirkan penghargaan kepada masyarakat India yang mengiktiraf usaha beliau dalam membela dan memberikan hak sama rata kepada masyarakat itu.

"Terima kasih kepada semua, kepada Presiden MIC (Datuk Seri Dr S. Subramaniam), walaupun bapa saya dan tok saya bukan dari Kerala, tetapi saya digelar bapa pembangunan kaum India," katanya di hadapan lebih 4,000 anggota MIC serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Najib berkata MIC kini berada dalam landasan betul selain menjadi parti yang lebih kukuh, lebih-lebih lagi selepas melakukan proses transformasi di bawah pimpinan Dr Subramaniam.

"Presiden dan Timbalan (Datuk Seri SK Devamany) maklumkan kepada saya bahawa parti telah melalui proses transformasi mengikut jejak langkah yang dimulakan UMNO," kata Najib yang merupakan Presiden UMNO.

Mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang dilancarkan April lepas, Najib menegaskan bahawa MIB bukan sekadar khayalan atau omongan kosong, tetapi kenyataan untuk kesejahteraan masyarakat India.

Tegasnya, kerajaan akan terus mengorak langkah ke hadapan berlandaskan MIB bagi memastikan pelan hala tuju yang dirangka memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat India, sekali gus memperkasakan keyakinan mereka terhadap kerajaan.

"Saya telah lantik Dr Subramaniam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MIB. Beliau akan lapor sebarang kekangan atau masalah birokrasi dan kita akan cuba selesaikan, cuma bagi kita masa sahaja,? katanya.

Mengenai bidang pendidikan yang merupakan antara tiga bidang yang ditekankan menerusi MIB, Najib berkata kerajaan komited merealisasikan penyertaan tujuh peratus pelajar India di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Najib berkata sebanyak 3,404 permohonan melanjutkan pengajian di IPTA diterima daripada pelajar India yang merupakan 5.6 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan.

Menurutnya daripada jumlah itu, 2,934 permohonan dikategorikan sebagai permohonan yang layak dan seramai 2,199 orang telah ditawarkan tempat di IPTA.

"Sebagai langkah untuk memastikan trend ini ke arah pencapaian sasaran tujuh peratus, saya mengarahkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi beri 735 tawaran layak untuk menuntut di universiti," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneliti aspek pembiayaan pendidikan di bawah seliaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Najib juga berkata beliau melantik Datuk T. Subromaniam sebagai Ketua Pengarah Kastam, walaupun menerima petiysen agar tidak melantik kaum India untuk jawatan itu.

"Saya kata mana boleh...dia senior dan dia layak. Saya tidak akan berganjak daripada pendirian saya. Kita mesti berpegang kepada kerajaan yang adil dan saksama, katanya.




Sumber : Bernama

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

Ulangtahun Ke-15 Tahun Pergerakan Puteri UMNO Malaysia